KEB 2024 Gali Teknologi, Peluang Baharu Ekonomi Bumiputera – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 14 Feb – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 selama tiga hari yang akan bermula pada 29 Feb depan akan menggali potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasa bumiputera di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara perkara yang turut akan dibincangkan di peringkat sekretariat kongres itu ialah memperkasa institusi dan agensi berkaitan ekonomi bumiputera yang wujud sejak KEB pertama pada 1965.

“KEB kali ini akan menggali beberapa aspek teknologi baharu, peluang baharu dalam bidang belum terjangkau di negara ini dan kita akan melihat unjuran-unjuran untuk 10 hingga 20 tahun akan datang.

“Kita juga mahu melihat bahawa peranan yang diberikan kepada agensi-agensi harus dinilai keberkesanannya,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Prapeluncuran KEB 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim merasmikan Prapeluncuran KEB 2024 itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahmad Zahid berkata langkah pemerkasaan institusi dan agensi-agensi berkaitan bumiputera berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan dapatan kajian dari setiap 10 kluster meliputi 10 sektor yang diwujudkan pada KEB 2024 berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kluster berkenaan, Ahmad Zahid berkata 10 kluster itu ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pilihan Pengukuhan Industri Kerjaya Utama, Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli, Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah, Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Menurut Ahmad Zahid setiap kluster akan dianggotai pakar dalam bidang tertentu untuk sesi libat urus dan pembentangan akan dilakukan oleh pengerusi bagi setiap kluster berkenaan.

Katanya resolusi oleh setiap kluster kelak akan dikemukakan oleh pengerusinya dan dibentangkan kepada Perdana Menteri pada hari terakhir kongres itu.

Kongres dari 29 Feb hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa itu menyasarkan
penyertaan seramai 3,000 peserta dan akan turut disertai wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, lban dan Dayak serta wakil dari komuniti Orang Asli.

“Penglibatan mereka (dewan perniagaan Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak) adalah untuk mengetuai kluster Sabah dan Sarawak bagi kami meneliti beberapa perincian dan juga program-program yang disaran oleh mereka sebagai komponen penting dalam pelaksanaan KEB” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.