Kesejahteraan Rakyat, Pembangunan Dan Kestabilan Negara Lebih Penting – Razlan
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan harus mengutamakan soal kesejahteraan rakyat, pembangunan dan kestabilan negara.
Tegasnya, beberapa perkara yang dibangkitkan oleh segelintir pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan ternyata telah mewujudkan kebimbangan orang Melayu dan seharusnya ia tidak berlaku jika sentiasa memahami kedudukan kerajaan.
“Ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Dap telah mewujudkan kerisauan kepada orang Melayu. Permintaan seperti ini seharusnya tidak berlaku sekira senantiasa memahami kedudukan Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Kerajaan Perpaduan hari ini terbentuk dari pelbagai parti yang punyai dasar yang tersendiri. Justeru itu, seharusnya lebih mementingkan pembanggunan negara, soal perut rakyat dan kestabilan negara.
“Isu ini lebih penting dari membawa isu yang berkaitan dengan dasar parti masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Razlan, UMNO akan kekal membantah soal-soal yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara, Melayu dan Islam.
Terdahulu dilaporkan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO kekal dengan pendirian menolak cadangan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Jumaat lalu, UMNO melalui kenyataan Setiausaha Agungnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan menolak sekeras-kerasnya cadangan Kor Ming itu.
Tegas Dr Asyraf, meskipun ia adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, UMNO berpandangan implikasinya terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung. – UMNO ONLINE