ADUN Pelangai Amizar Angkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri Pahang

KUANTAN, 13 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Baharu di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Haji Yaacob, Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Datuk Indera Nazri Abu Bakar, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.

Pada istiadat itu, baginda bertitah agar semua Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan dapat menjalankan segala tugas dengan baik dan ikhlas untuk memajukan Negeri Pahang, membantu rakyat miskin dan menegakkan syiar Islam.

“Semua pemimpin mesti rajin turun padang, rajin membantu, rajin membaca dan rajin bekerja. Seperti yang saya katakan tadi, saya seorang Sultan yang ‘result oriented and people come first’, bila bantuan untuk rakyat, mesti tunaikan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah bahawa baginda telah bersetuju terhadap pertukaran portfolio bagi Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan yang akan diumumkan esok.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pertukaran ini bertujuan memperkemas dan memantapkan lagi pentadbiran Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat.

“Yang pastinya ada perubahan sedikit portfolio tujuannya untuk memperkemaskan dan memantapkan lagi pentabiran Kerajaan Negeri agar ianya lebih berkesan dan esok saya akan umumkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.