Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak Bukti Keabsahan, Letak Agenda Rakyat Sebagai Keutamaan – Hang Tuah
IPOH, 11 Feb – Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang berlangsung pada 28 Januari lalu penting untuk membuktikan keabsahan kerajaan negeri yang sentiasa meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din menzahirkan rasa syukur kerana konvensyen tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan menghimpunkan lebih 1,500 pemimpin parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulillah pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa syukur kepada Allah, atas limpah rahmat-Nya, Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak berjaya dilaksanakan dengan lancar. Ianya berjaya menghimpunkan 1500 para pemimpin dari parti-parti komponan Kerajaan Perpaduan. Lebih besar maknanya, Perak menjadi negeri pertama dan mencetuskan gelombang Perpaduan.
“Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang usai pada 28 Januari lalu sangat penting dalam memberi keabsahan dan kelegaan pada rakyat… bahawa Kerajaan Negeri hari ini teguh, kukuh dan berkongsi tekad sama iaitu meletakkan kepentingan serta agenda rakyat sebagai keutamaan.
“Bukan itu sahaja, jaminan yang tegas turut disuarakan oleh semua wakil jurucakap bahawa semua parti berdiri teguh dengan kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan sedia mengekalkan semangat ini demi mencapai Perak Sejahtera 2030 bersama-sama. Ini satu semangat dan ‘mutual understanding’ yang luar biasa,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, usaha untuk membentuk kerjasama dan membina keyakinan perlulah dimulakan serta diteruskan bagi menzahirkan gelombang Perpaduan.
“Selain itu, konvensyen ini juga tidak akan terhenti di sini sahaja. Ini adalah permulaan. Dalam merealisasikan semua hasrat dan tekad bersama ini, kita perlu perkukuhkan hubungan dengan gerak kerja bersama di akar umbi iaitu di 24 Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
“Usaha memahamkan, membentuk kerjasama dan membina keyakinan bersama itu perlu dimulakan dari sekarang oleh para pendokong dan penyokong semua parti agar gelombang kerajaan Perpaduan dapat dizahirkan,” katanya.
Pada bulan lalu telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang diadakan di Ipoh dan dihadiri oleh para kepimpinan BN-PH negeri tersebut.
Konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman