UMNO Tolak Cadangan Nga Kor Ming – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 9 Feb – UMNO sekeras-kerasnya menolak cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming untuk mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun ianya adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, UMNO berpandangan implikasinya terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung.
“UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan Menteri KPKT, Nga Kor Ming bagi mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Walaupun tujuannya adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, tetapi UMNO berpandangan implikasi terhadap cadangan ini terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, perkara ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal disertai hak keistimewaan tertentu.
“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan tersebut akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan.
“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
“Nga Kor Ming mesti memahami bahawa isu tanah adalah isu maruah dan kedaulatan yang tiada tolak ansur bagi orang Melayu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut beranggapan bahawa cadangan seumpama ini hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan dan mencetuskan polemik yang tidak perlu di kalangan rakyat.
“Cadangan seumpama ini hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan, mencetuskan polemik tidak perlu dikalangan rakyat, bahkan tidak selari dengan dasar Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri.
“UMNO kekal dengan prinsip sebagai benteng Melayu-Bumiputera dalam kerajaan. Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang isu yang menggangu-gugat kesejahteraan rakyat dan membelakangkan hak setiap kaum yang telah dipaterikan dalam perlembagaan,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan Kor Ming berkata KPKT sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Menurutnya, pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO membolehkan kampung baru diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia. Penempatan itu juga bakal dipelihara dan dilindungi di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia 1972. – UMNO Online