Tolak Ke Tepi Desas-desus… UMNO Berada Dalam Prinsip Yang Tersendiri – Sharkar

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap pelbagai isu yang berlaku hari ini tidak menjejaskan segala usaha dan segala perancangan parti untuk bergerak ke depan apatah lagi dalam usaha memperkasakan gerak kerja pelbagai peringkat.

Menurut beliau apa yang diuar-uarkan termasuklah pelbagai isu yang bermain di media sosial dan sebagainya lagi tidak seharusnya menjadi batu penghalang malah batu pengikat yang meletakkan seluruh jentera parti berada dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

“Kadangkala kita kena tapis dan kadangkala kita kena melihat sesuatu yang diviralkan secara menyeluruh. Kita serahkan kepada kepimpinan parti untuk mencari jalan penyelesaian dan kita pula di pelbagai peringkat kepimpinan sama-sama membantu dengan sebaiknya.

“Janganlah kita juga turut menjadi ‘batu pengasah’… jangan jadi ‘pengipas sate’ yang boleh menyemarakkan ketidakharmonian sesama kita ahli-ahli parti pelbagai peringkat. Matlamat kita satu untuk meningkatkan keupayaan UMNO hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi secara dasarnya UMNO sehingga ke hari ini masih berpegang kepada prinsip dan asas parti itu sendiri bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya untuk rakyat serta negara.

Dalam keadaan itulah tegas beliau pentingnya ahli parti tidak kiralah di peringkat mana sekali pun untuk sama-sama bergerak bersama pucuk pimpinan menjayakan segala perancangan dan segala pelaksanaan.

“Insya-Allah daripada kejayaan itu kelak akan terbit kepercayaan masyarakat  dan rakyat kepada UMNO dan kita sama-sama buktikan bahawa perjuangan kita di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini adalah untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Kita peka dan kita prihatin dengan apa yang berlaku termasuklah soal politik, ekonomi dan sebagainya. Sebagai rakan Kerajaan Perpaduan, soal-soal ini tentunya akan menjadi tumpuan pimpinan yang telah diberi kepercayaan tidak kiralah di peringkat mana sekalipun.

“Sebagai sebuah parti yang dekat dengan rakyat itulah keutamaan kita dan itulah fungsi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak daripada dahulu hinggalah ke hari ini. Jadi sama-samalah kita berwaspada terhadap apa jua yang diviralkan khususnya segala desas-desus yang berlegar,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.