Jalaluddin Sifatkan UMNO Negeri Sembilan Berada Dalam Posisi Tersendiri
KUALA LUMPUR, 6 Feb – UMNO Negeri Sembilan berada dalam posisinya yang tersendiri malah kekuatan serta kesepaduannya hari ini cukup baik serta bergerak satu barisan dalam usaha memastikan parti terus mencapai kejayaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata segala desas-desus yang cuba dikaitkan dengan UMNO negeri berkenaan adalah tidak berasas malah kesemua lapan ketua bahagian menyatakan solidariti masing-masing terhadap kepimpinan parti.
“Saya dah sebut berkali-kali yang kekuatan dan keutuhan UMNO di Negeri Sembilan, Insya Allah tidak lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Saya yakin dengan kepimpinan UMNO di negeri ini, apatah lagi dengan kerjasama serta sokongan solidariti ketua-ketua UMNO bahagian dan pimpinan di seluruh bahagian, UMNO Negeri Sembilan akan terus bergerak ke depan,” katanya.
Kata beliau lagi persefahaman yang ada hari ini di semua peringkat cukup baik.
“Saya boleh sahkan bahawa kekuatan UMNO sekarang terutama yang berkaitan dengan kesepaduan di semua kepimpinan sama ada Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri mempunyai satu persefahaman yang sangat baik dan tinggi.
“Kita di Negeri Sembilan ada lapan bahagian saja dan tiada satu pun dalam kalangan mereka yang menyuarakan atau menggambarkan mempunyai tanda-tanda tidak puas hati kepada kepimpinan tertinggi parti,” ujarnya .- UMNO ONLINE