Ambil Pengajaran Kes Pulau Batu Puteh… Kerajaan Akan Bentang Akta Kedaulatan Negara Di Parlimen – Azalina

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Negara pada sesi Parlimen akan datang untuk bacaan kali kedua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, akta tersebut adalah sebagai pengajaran daripada kes Pulau Batu Puteh yang akhirnya terlepas ke tangan Singapura disebabkan kekhilafan pentadbiran.

“Kerajaan akan membentangkan Akta Kedaulatan Negara pada sesi Parlimen akan datang untuk bacaan kali kedua. Objektifnya ialah supaya apabila negara berhadapan dengan isu kedaulatan… bertukar kerajaan sekali pun ada satu protokol lain bahawa tidak boleh ada satu individu politik, sebesar mana pun jawatan beliau membuat keputusan atas kedaulatan seorang diri.

“Isu kedaulatan mesti diselesaikan bersama. Sekretariatnya mungkin Majlis Keselamatan Negara (MKN). Maknanya, ia merangkumi rujukan kepada isu kedaulatan dan hak dari segi tanggungjawab negeri.

“Maksudnya ialah, kita belajar dari kekhilafan ini supaya dalam apa pun peristiwa seperti pertukaran kerajaan, isu kedaulatan jangan disentuh. Cuba kita bayangkan, kerana terlampau seronok dengan tema demokrasi, hak memilih dan pilihan raya kita menggadai kedaulatan kerana terlupa serta terlepas pandang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara poadcast Penerangan UMNO ‘#HitamKelabuPutih’ yang bertajuk ‘Apa Itu RCI’ di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Jelasnya, kedaulatan negara merupakan sebuah isu yang akan memberi kesan mendalam terhadap negara dari aspek pada masa akan datang.

“Kesan kedaulatan ini bukan memberi kesan kepada politik sahaja. Ianya juga memberi kesan kepada negara dari segi aspek pada masa akan datang. Kedaulatan ini merupakan sebuah perkara yang bagi saya adalah hak kita sebagai sebuah negara.

“Seperti kes Sulu, orang Sabah apabila masuk Malaysia, mereka dah tandatangan referendum untuk masuk Malaysia. Keturunan Sulu ini semua cerita lain. Tiba-tiba apabila kita dah duduk, masuk Malaysia, Sabah dah jadi separuh daripada Malaysia, Malaya bertukar nama kepada Malaysia semuanya tiada masalah.

“Tiba-tiba ada sepuluh orang berkata bahawa merekalah keturunan asal yang sebenarnya tuan kepada tanah Sabah. Pada tahun 1878 adanya dokumen mengatakan kononnya mereka yang memberi hak untuk diberikan sewa dan sebagainya. Ini adalah isu kedaulatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azalina turut beranggapan bahawa dengan adanya kerajaan yang stabil maka Malaysia berjaya menang dalam isu tuntutan puak Sulu terhadap Sabah.

“Tapi alhamdulilah dengan adanya kerajaan yang lebih stabil, kepimpinan negara dapat menggerakkan Jabatan Peguam Negara dan mewujudkan kumpulan-kumpulan baharu untuk membela.

“Ini kerana sasarannya bukan Malaysia. Mereka menyasarkan syarikat-syarikat negara yang mereka tahu boleh digertak di negara luar untuk mendapatkan bayaran. Mungkin bukan sepenuhnya tetapi dalam anggaran sepuluh hingga 20 peratus. Jadi, kita mesti tahu isu kedaulatan ini kesannya sangat-sangat mendalam,” katanya lagi.

Pada 8 Julai 2021 media melaporkan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Tun Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.

Pada 4 Januari lalu media melaporkan bahawa Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan RCI ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119]. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.