‘UMNO Teruskan Usaha Dapatkan Pembelaan Ke Atas Najib’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Feb – UMNO akan meneruskan usaha dan tindakan pembelaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini masih dipenjara biarpun sudah diberikan pengurangan hukuman penjara dan denda yang disabitkan terhadapnya.

Presidennya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu perlu diteruskan selepas mendakwa Najib tidak pernah diberikan keadilan sejak dari awal prosiding perbicaraan di mahkamah berkaitan kes dihadapinya itu.

“Bukan (minta) pembebasan ya, tapi pembelaan. Saya harap media boleh betulkan. Satu (UMNO buat) rayuan, kedua (minta) pembelaan, sebab apa yang disebut sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’ itu hanya ada pada Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, kita sebagai sebuah organisasi politik yang pernah mengetuakan Najib, kita mempunyai satu tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada pembelaan ini kerana Najib tidak diberikan keadilan melalui proses seawal kes itu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Menteri kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pembelaan yang dilakukan UMNO selama ini tidak bermaksud parti itu cuba mengenepikan peranan sistem perundangan negara.

“Soal hukuman (penjara dan denda dikenakan ke atas Najib), di mana kita menghormati institusi perundangan itu, tetapi apabila keadilan sebenarnya tidak diberikan, maka itulah yang sama-sama dipersetujui untuk melakukan pembelaan kepada Najib,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan keputusan itu, UMNO kelmarin memanggil mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan mengadakan pertemuan bersama 191 ketua-ketua bahagiannya bagi menyatakan pendirian dan memberi penjelasan terhadap keputusan lembaga itu. – BH Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.