Ahli UMNO Perlu Terus Kuatkan Semangat, Fokus Kepada Perjuangan – Mohd Kurniawan

KINABATANGAN, 31 Jan – Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Kurniawan Naim berharap agar seluruh ahli dan penyokong parti kekal setia kepada perjuangan dengan perkuat semangat serta kekal fokus sepenuh usaha untuk bangkit kembali bagi menghadapi cabaran akan datang khususnya ketika parti bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau turut berharap agar semangat perjuangan ahli-ahli UMNO turut disertai dengan tindakan serta gerak kerja yang meyakinkan rakyat.

“Semangat sahaja tidak memadai tanpa strategi pendekatan yang menyakin, justeru pengalaman serta perkongsian ilmu perlu diapalaksi ke peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap menutup program Pemukiman DUN Lamag dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Mohd Kurniawan yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, UMNO bahagian terbabit dapat dibina semula dengan kekuatan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat setempat dan dapat membezakan antara perjuangan individu serta parti.

“Saya mendoakan dengan penuh harapan agar seluruh ahli dan penyokong UMNO yang setia kepada perjuangan parti ini agar terus kuat bersemangat serta kekal fokus menumpukan sepenuh usaha untuk bangkit kembali dengan lebih gagah khususnya berhadapan dengan PRN akan datang,” katanya.

Menurut Mohd Kurniawan, UMNO Kinabatangan dapat dibina semula dengan kekuatan, kesetiaan dan pendekatan baharu yang lebih ampuh serta relevan untuk terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat setempat walaupun sebilangan ahli dan pemimpinnya melompat ke lain parti lantaran mengejar kepentingan peribadi.

“Semoga dikemudian hari nanti, kalian dapat memahami dan membezakan antara perjuangan individu serta parti UMNO yang sekian lama berusaha memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tercinta ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu Mohd Kurniawan turut mengingatkan agar kepimpinan cawangan-cawangan UMNO dibahagian itu mengambil peranan aktif mengunakan media baharu seperti facebook, tik tok dan sebagainya.

“Media sosial bukan sahaja dijadikan medium bagi menyebarkan maklumat program kerajaan dan parti sekali gus digunakan untuk menangkis segala dakyah, fitnah dan provokasi yang dilakukan oleh pihak lawan.

“Seterus kita tidak boleh berdiam diri sebaliknya bangkit menjawab dengan fakta apabila ada pihak yang menjadikan media baharu sebagai alat menyerang parti dan pemimpin kita,” tegas Mohd Kurniawan lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.