Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak Satu Tekad, Komitmen Makmurkan Negeri Demi Kesejahteraan Rakyat

IPOH, 29 Jan – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak merupakan satu tekad dan janji agar dapat diangkat martabat negeri itu sebagai sebuah negeri yang makmur dan rakyatnya dilimpahi dengan nikmat kesejahteraan.

Ujar Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.

“Ia didiri atas pengorbanan serta komitmen jitu kita sebagai pemimpin dan pendukung parti untuk mengetepikan segala perbezaan dan merangkul segala persamaan demi kelangsungan sebuah negara dan sebuah negeri.

“Sepanjang konvensyen, para ahli panel, peserta forum dan pembahas merentasi parti-parti komponen telah berjaya melontarkan pandangan dan buah fikiran yang menjurus kepada usaha-usaha kita untuk memartabatkan kerjasama dan sinergi dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Perak.

“Ada yang memberi kupasan dari aspek sejarah, ada yang tampil saranan bersandarkan falsafah politik yang lebih segar, ada juga yang melontarkan buah fikiran untuk sama-sama menajamkan strategi dalam pelaksanaan polisi-polisi pentadbiran. Tidak kurang juga idea-idea yang bernas untuk kita merapatkan saf,” katanya ketika berucap di majlis penutup konvensyen di sini, pada Ahad petang.

Konvensyen tersebut yang dihadiri lebih kurang 1,500 peserta dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan beberapa menteri kabinet daripada BN dan juga PH.

Seterusnya, Saarani menyimpulkan bahawa semua ahli panel, pembahas dan peserta mempunyai pandangan yang senada dalam satu perkara paling asas, iaitu pentingnya perpaduan yang menjadi kunci kepada kelangsungan kerajaan.

Dalam pada itu, Saarani juga bersyukur kerana Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak berjalan dengan lancar sekaligus menyerlahkan komitmen setiap perwakilan daripada BN dan PH untuk bersama menegakkan wadah perjuangan Kerajaan.

“Kita juga sangat bertuah kerana dua figura penting negara dapat meluangkan masa bersama-sama dengan kita.

“Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit