Jelajah Puteri UMNO Sabah Santuni Akar Umbi, Perkukuh Kekuatan
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pergerakan Puteri UMNO Sabah baru-baru ini melaksanakan jelajah ke seluruh negeri untuk menyantuni akar umbi sayap itu.
Dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon, ianya juga untuk memperkenalkan barisan kepimpinan baharu bagi Puteri negeri dan bahagian sebagai memperkukuhkan lagi kekuatan dalam kalangan kepimpinan Puteri.
Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal meluahkan kesyukuran kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila pelbagai program dilaksanakan secara bersama termasuk pelaksanaan strategi dirangka bagi memperkukuh gerak kerja sayap parti ini dalam memperkukuh kekuatan UMNO Sabah.
Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang menjadi lokasi pertama program tersebut yang diadakan pada 13 dan 14 Januari lalu.
“Program Jelajah ini diadakan bertujuan untuk memberi pengenalan barisan Kepimpinan Puteri UMNO Negeri Sabah yang baharu bersama Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian-bahagian yang baharu di seluruh zon negeri Sabah.
“Barisan Kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Sabah mengharapkan dengan adanya program Jelajah ini, dapat mewujudkan dan mengembalikan semangat perjuangan untuk mempertahankan Parti UMNO di negeri Sabah serta dapat memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan khususnya di kalangan Ahli Puteri UMNO Sabah,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu beliau berkata jelajah ini juga secara tidak langsung memberikan impak positif untuk melahirkan para ahli Puteri UMNO Sabah yang berfikiran secara positif, dinamik, aktif dan progresif dalam mendepani apa jua cabaran politik yang mendatang.
“Kami yakin dan percaya dengan adanya hubungan baik di setiap peringkat pimpinan Puteri akan mengukuhkan lagi kekuatan, keyakinan agar terus menyumbang bakti kepada masyarakat semampu kami demi kelangsungan masa depan parti UMNO yang tercinta ini khususnya di negeri Sabah,” ujar beliau.
Program ini seterusnya akan menjelajah ke Ranau, Tenom, Pensiangan dan Keningau pada 27 dan 28 Januari ini. – UMNO Online