UMNO Melaka Terus Bergerak Ke Depan, Terus Berjuang Demi Rakyat – Rais

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin berharap segala agenda dan perancangan yang diatur oleh UMNO negeri itu yang diketuai Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan terus mengukuhkan lagi perjuangan untuk rakyat pelbagai peringkat.

Berkongsi dengan UMNO-Online, beliau yang juga Ketua UMNO Tangga Batu seterusnya menambah pelbagai program yang dirangka diharap akan dapat terus menarik minat pelbagai peringkat umur dan golongan agar parti itu terus mengorak langkah ke depan.

“Alhamdulillah, saya cukup bersemangat dan teruja menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Melaka buat pertama kali bagi Tahun 2024. Mesyuarat ini dipengerusikan sendiri oleh  Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara.

“Agenda mesyuarat memfokuskan kepada penyusunan gerak kerja terkini dalam memperkukuhkan Parti UMNO di Negeri Melaka. Pelbagai program dan aktiviti dirangka supaya dapat mendekati dan menarik minat rakyat pelbagai kaum dan usia,” katanya.

Kata beliau lagi dengan sokongan dan gerak kerja bersepadu semua peringkat lapisan kepimpinan, insya Allah UMNO Melaka terus utuh dan terus bekerja untuk seluruh rakyat.

“Tahniah dan terbaik saya ucapkan buat seluruh kepimpinan UMNO yang diterajui Datuk Seri Ab Rauf kerana sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun. Semoga usaha murni ini diberkati Ilahi dan Parti Keramat UMNO terus relevan dalam memperjuangkan denyut nadi rakyat Malaysia.

“Kita akan terus berjuang dan akan terus memperkasakan lagi parti ini kerana perjuangan kita semua adalah untuk memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terbela, insya Allah,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit