Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap Untuk Kukuhkan Kerajaan, Kestabilan Politik – Shahrul Fazli
KUALA LUMPUR, 22 Jan- Pengamal undang-undang, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap tujuannya adalah untuk mengekalkan jangka hayat Dewan Rakyat di Parlimen.
Apa yang penting katanya, kestabilan politik bagi sesebuah kerajaan yang mentadbir adalah cukup penting.
“Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah untuk menentukan bahawa tempoh hayat kerajaan akan kukuh hingga lima tahun. Dalam keadaan yang sama kestabilan politik dalam blok kerajaan dengan jumlah sokongan mencukupi sehingga lima tahun perlu ada.
“Tentu sekali di bawah perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya seseorang Perdana Menteri telah hilang keyakinan dari ahli-ahli Dewan Rakyat maka perlu menghadap dan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pilihan yang ada sama ada Perdana Menteri letak jawatan bersekali dengan Jemaah Menterinya atau nasihat YDPA untuk bubarkan Parlimen.
“Akta Berpenggal ini boleh mengatasi masalah (bubar parlimen sebelum cukup penggal) dan ianya tidak akan berlaku. Tujuan Akta Parlimen Berpenggal ini bukan untuk mengatasi daripada ahli Dewan Rakyat ‘cross the floor’ tapi ianya lebih untuk mengekalkan penggal Parlimen dan menghadkan kuasa Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.
Tambah Shahrul Fazli, perlu ingat bahawa kuasa YDPA ini luas dalam membubarkan dan mutlak dalam pembubaran Parlimen; sekiranya nasihat Perdana Menteri tersebut untuk membubarkan Parlimen itu boleh tidak diterima oleh YDPA dan ini kuasa daripada Perlembagaan kepada YDPA.
Ujarnya tafsiran iaitu apa sahaja nasihat Perdana Menteri kepada YDPA perlu dengar dan diikuti tetapi sebenarnya perlaksanaan dan budi bicara YDPA untuk mendapatkan keputusan mutlak (pembubaran Parlimen) datang daripada atas dirinya dan boleh tolak apa-apa permintaan untuk pembubaran Parlimen sekiranya dibuat sebelum lima tahun.
“Sama ada Perdana Menteri itu meletakkan jawatan atau menasihat pada YDPA untuk bubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya, itu kuasa yang ada sekarang. Dalam tempoh lima tahun sekiranya Perdana Menteri hilang sokongan dan itu perkara yang boleh berlaku,” katanya lagi.
Pada masa yang sama tambah beliau lagi, setiap negara pasti ada sistem perundangan dalam membentuk sesebuah negara.
“Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah ada peruntukan bagi pembentukan Parlimen dan di bawah perkara 55(3) ianya ada tempoh masa iaitu lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan dengan sendirinya akan terbubar selepas itu.
“Sekiranya hendak membaiki dan memastikan kelancaran program-program kerajaan serta memastikan bahawa Parlimen itu kekal lima tahun, maka ianya baik untuk digubal sekiranya ada keperluan untuk membubarkan Parlimen terlebih awal maka boleh dilakukan dengan ‘mekanisme’ yang lebih ketat,” katanya lagi.
Tambahnya lagi dalam keadaan sekarang Perdana Menteri hanya perlu menasihat YDPA untuk berparlimen (memanggil dewan untuk bersidang atau membubarkan Parlimen).
“Apa yang perlu dipinda adalah hak beliau. Sekiranya hendak digubal undang-undang (berkenaan pembubaran parlimen) iaitu sebelum disampaikan pada YDPA maka hendaklah Perdana Menteri mengusulkan di dalam Dewan Rakyat.
“Sama ada ianya perlu dibuat oleh Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat secara undian dan itu adalah penambahan yang lebih baik dan ‘demokratik,”ujarnya lagi.
Terdahulu Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi cadangan bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap.
Terdapat banyak negara yang mengamalkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara. – UMNO Online