Hala Tuju Kerajaan Perpaduan Perkasa Kebajikan Rakyat Dan Ekonomi Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan hala tuju Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa kebajikan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya pemerkasaan itu akan dilaksanakan menerusi dasar dan program kerajaan seperti mana dicapai pada Permukiman Jemaah Menteri yang dihadiri kesemua anggota Kabinet kerajaan.

“Alhamdulillah, selesai sudah Permukiman Jemaah Menteri tahun 2024 selama dua hari di Cyberjaya bagi merangka pelbagai strategi dan hala tuju baharu Kerajaan Madani.

“Saya amat gembira dapat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri-Menteri Kabinet yang lain bagi bersama memperhalusi dan membincangkan tentang polisi dan program Kerajaan yang akhirnya dapat memberikan nikmat kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi saranan Perdana Menteri yang berkata bahawa kerjasama dan penyampaian antara kementerian memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Penyelarasan yang baik, sistem penyampaian yang berkesan dan kesepaduan antara Kementerian adalah antara perkara yang ditekankan oleh Perdana Menteri sepanjang Permukiman ini berlangsung.

“Insya-Allah, saya bersama-sama seluruh Jemaah Menteri dan Kepimpinan Tertinggi Perkhidmatan Awam yang terlibat dalam permukiman ini akan berusaha sebaik-baik untuk menterjemah setiap inisiatif yang dirangka bagi memastikan rakyat benar-benar menerima manfaatnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit