Presiden Bangga Lihat Semangat, Kecekalan Wanita Dan Sayap UMNO Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dalam membantu mangsa banjir di Johor.

Katanya gerak kerja yang dilaksanakan termasuk membantu membersihkan kediaman yang terjejas dan memberikan keperluan asas kepada mangsa banjir sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang ditimpa bencana alam ini.

“Saya bangga melihat semangat dan kecekalan yang ditunjukkan oleh Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Malaysia serta para sukarelawan yang telah turun padang menyantuni dan membantu mangsa-mangsa banjir di Negeri Johor dalam Misi Sukarelawan Pasca Banjir 2024.

“Selain membekalkan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir, mereka juga turut bersemangat untuk bersama-sama mencuci kawasan yang dilanda banjir dan bersama-sama membersihkan kediaman yang terjejas.

“Sebelum ini saya telah melihat usaha yang sama mereka lakukan di Negeri Pantai Timur, melalui Misi Sukarelawan Pasca Banjir 2024 kali ini diharapkan ianya sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terlibat banjir di Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu percaya bahawa bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah perlu diberikan keutamaan melangkaui kepentingan politik bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

“Sikap kepedulian dan kasih-sayang sebegini merupakan suatu nilai yang sentiasa diterapkan di dalam UMNO di semua peringkat.

“Semoga Allah SWT pemudahkan urusan mangsa-mangsa banjir yang sedang diuji ketika ini dan semoga misi bantuan yang dilakukan oleh Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Malaysia serta para sukarelawan berjalan dengan lancar,” ujar beliau.

Sehingga kini keadaan banjir di negeri ini semakin hampir pulih sepenuhnya apabila hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja yang masih beroperasi, setakat 8 pagi tadi.

Ia membabitkan 78 mangsa daripada 20 keluarga yang masih ditempatkan di tiga PPS di Segamat dan Batu Pahat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.