Laksana Dimensi Baharu Dekati Rakyat, Berikan Impak Nilai Tambah Kepada UMNO

KOTA KINABALU, 15 Jan – UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan sebagai sebuah parti politik bagi membendung ‘trend’ penolakan pengundi di kawasan bandar, mahupun luar bandar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dimensi baharu mendekati rakyat di peringkat akar umbi perlu dilakukan oleh UMNO bahagian yang tidak seharusnya tertumpu kepada ahli-ahli parti atau kelompok tertentu sahaja tapi perlu diperluaskan kepada masyarakat lain.

Menurut beliau apa yang diperhatikan kebanyakan program seperti program-program ziarah lebih tertumpu kepada ahli-ahli parti yang sudah tentu tidak dapat memberikan impak dan nilai tambah sokongan rakyat kepada UMNO.

Bung berkata, selain penyokong tegar UMNO di luar sana masih ada kelompok yang tidak berparti selain mereka yang uzur dan tidak berkemampuan memerlukan perhatian iaitu bukan hanya dari orang politik tetapi juga, persatuan belia, persatuan ibu tunggal, persatuan pesara kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain yang perlu didekati.

“Kita perlu ubah pendekatan dengan dimensi baharu, komuniti ini sudah tentu mempunyai ahli dan penyokongnya, jika kita dekati dengan berhemah, penuh mesra dibantu apa keperluan mereka maka tidak mustahil mereka akan menyokong perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Amanat Ketua UMNO Sabah 2024 bersama pimpinan bahagin-bahagian UMNO dari seluruh Sabah, di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idiris dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menggesa semua pemimpin parti untuk meneliti semula apa yang perlu dilakukan dan memikirkan bagaimana boleh mengubah ‘trend’ penolakan pengundi terhadap UMNO.

Menurut Bung, UMNO perlu membawa konsep politik kestabilan ekonomi rakyat dan membangunkan ekonomi perniagaan seiring dengan cabaran semasa ketika ini selain politik mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Kita tidak lagi dengan pendekatan budaya lama dari segi penyusunan program, contoh jika mendekati golongan muda tidak sekadar menganjurkan kejohanan sukan atau membantu peralatan sukan tetapi juga memberikan ilmu pengetahuan untuk golongan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan yang dianjurkan dengan kerjasama dari agensi lain agar pendedahan ilmu serta peluang dapat dimanfaat,” katanya.

Menurut beliau banyak peluang yang disediakan oleh kerajaan seperti kursus kemahiran atau geran bantuan yang boleh dimasukkan dalam setiap program kerana masih ada maklumat yang tidak sampai kepada masyarakat khususnya golongan muda.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang UMNO di Sabah tidak boleh bergantung kepada pengundi dalam kalangan ahlinya tapi perlu menarik lebih ramai pengundi di luar UMNO (rakyat) untuk menyokong perjuangan parti.

Dalam perkembangan yang sama, Bung juga menyentuh soal kekuatan parti bergantung kepada konsep kerja berpasukan yang menurut beliau perpecahan sesama sendiri akan mengundang kepada kelemahan dan kekalahan dalam perjuangan.

“Justeru kita mesti terapkan budaya kerja berpasukan, kepimpinan UMNO bahagian empat peringkat perlu bersatu, berjalan seiring, elaklah bergeseran selepas pemilihan baru-baru ini, jangan wujudkan ‘team’ A dan ‘team’ B kerana jika ini masih berlaku kekuatan tidak akan dicapai, jika kita mahu menang buatlah kerja mahu menang,” tegas Bung lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.