‘Jelajahraya Wanita UMNO Sabah’ Aplikasi Kesiapsiagaan Depani PRN – Noraini Idris
RANAU, 15 Jan – Seperti memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir, Wanita UMNO Sabah sudah bersiap siaga pada tahap tertinggi untuk menghadapi pemilihan itu yang tarikhnya dijangka lebih awal diadakan sebelum tempoh berakhir tahun depan.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, susulan persediaan itu, parti terbabit menggariskan beberapa perkara yang menjadi teras bagi memperkukuhkan tekad semua pimpinan, jentera dan ahli.
Jelasnya, antara yang diberikan tumpuan ialah merancang, menyusun, mendidik serta mengutamakan kesejahteraan rakyat dan sentiasa bersedia.
Menurut beliau sepanjang program ‘Jelajahraya Wanita UMNO Sabah’ ke beberapa bahagian di negeri ini, aspek tersebut telah diberikan penekanan bagi memastikan kesediaan jentera Wanita UMNO Sabah bagi menghadapi sebarang kemungkinan PRN diadakan lebih awal dari tempoh yang sebenarnya.
“Setakat ini saya berpuas hati terhadap persediaan yang dilakukan oleh jentera Wanita UMNO Sabah di semua bahagian, bagaimana pun ianya perlu penambahbaikan dari masa ke masa seiring dengan perkembangan dan isu semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan program ‘Jelajahraya Wanita UMNO Sabah’ Bahagian Ranau yang merupakan bahagian ke-21 dilawati.
Menurut Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, masa terlalu suntuk maka Wanita UMNO di seluruh bahagian perlulah melaksanakan program yang memberi impak positif kepada sokongan parti, mengadakan latihan pilihan raya, menyantuni masyarakat dan pengundi muda.
“Kita perlu menjadi sebuah parti atau sebagai ejen yang mudah didekati, cakna kepada isu rakyat untuk disuarakan kepada pihak berkenaan dan mudah menjadi capaian kepada masyarakat serta pengundi,” jelas beliau.
Justeru, katanya, anggota sayap UMNO itu perlu menetapkan nilai dan semangat kesukarelawan untuk membantu serta menjaga kebajikan rakyat.
“Besar harapan saya apabila semboyan perang dibunyikan, Wanita UMNO sudah siap sedia untuk berjuang di medan pertarungan PRN ke 17,” katanya lagi. – UMNO Online