Tidak Boleh Syok Sendiri… Setiap Inisiatif Mesti Santuni, Selami Suara Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memegang prinsip bahawa tidak boleh syok sendiri dengan pelbagai inisiatif yang direncanakan.
Tetapi tegas Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO, ia juga mesti sentiasa menyantuni, menyelami suara hati dan kehendak rakyat bawahan.
“Sebagai contoh, ramai anak muda di luar sana yang masih tidak terdedah dengan peluang besar yang ada dalam MARA terutamanya pelbagai bantuan dana dan program pembangunan usahawan yang ada.
“Juga tidak kurang yang mengeluh betapa lambatnya proses kelulusan dan penyaluran bantuan yang diperuntukkan sehingga menyusahkan rakyat,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Dr Asyraf pada pagi ini bersama dengan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah termasuk pengurusan tertinggi MARA dalam pemukiman tiga hari dua malam memperhalusi pendekatan terbaik untuk tahun 2024 ini.
Katanya, ia bagi memastikan ekosistem agensi seperti MARA dapat membantu rakyat dengan lebih berkesan termasuklah dalam aspek perkhidmatan, penyampaian dan penyaluran bantuan dan maklumat. – UMNO ONLINE