Sudah-sudahlah Politiking… Hormati Mandat Rakyat, Kembalikan Malaysia Sejahtera – Mohd Rafi

LABUAN, 12 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menggesa semua pihak khususnya pembangkang agar menghentikan politiking yang tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat.

Tegasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, polemik berkaitan konspirasi baharu iaitu ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak sewajarnya berlaku apatah lagi telah setahun pentadbiran kerajaan hari ini berlangsung lancar.

“Sudah-sudahlah politiking… hormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan titah Baginda Sultan yang mahukan kerajaan hari ini diaplikasi melalui permuafakatan dan persefahaman sebagaimana Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang masa bekerja, kerajaan berusaha mengembalikan keupayaan Malaysia sebagai negara yang stabil dan ekonomi yang kukuh maka sewajarnya pihak pembangkang juga memainkan peranan sebagai semak dan imbang demi kembalikan Malaysia yang sejahtera,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, rakyat hari ini perlukan perhatian dan enggan lagi terperangkap dalam apa-apa tindakan yang hanya akan merugikan masa depan.

“Suasana hari ini rakyat perlukan pembelaan, maka apa yang paling penting adalah politik negara perlu stabil agar perancangan ekonomi dapat dilaksana dan seterusnya berkembang kerana ini semua akan memberi manfaat dan pulangan kembali kepada rakyat kelak.

“Dalam tempoh masa yang ada sekarang ini, maka bekerjalah untuk rakyat, berusaha kembalikan negara pada kedudukan ekonomi yang mantap lantas rakyat juga tentunya akan dapat menikmati pulangan hasil daripada usaha yang dibuat.

“Rakyat tak mahu lagi hidup dalam keadaan terbeban, tak mahu lagi dengar cakap-cakap kosong kerana yang penting adalah apa yang nak dimakan, apa yang nak dipakai, apa yang nak dibayar dan macam-macam lagi,” katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan terdapat gerakan yang dinamakan ‘langkah Dubai’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan dirancang dan didalangi pemimpin pembangkang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.