Tengku Zafrul Bertemu Persatuan Pembekal PERODUA, Industri Automotif Penting Dalam Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata industri automotif memegang peranan penting dalam pembangunan negara.

Jelas Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, ekosistemnya menyumbang sebanyak empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang menjadikan Malaysia pasaran automotif ketiga terbesar di ASEAN.

“Sejajar dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2020), kerajaan komited untuk memajukan industri ini dengan mencapai Total Industry Volume (TIV) sebanyak 1.22 juta unit, eksport bernilai RM28.3 bilion bagi bahagian dan komponen automotif, serta mencipta 323,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Di bawah NAP2020 juga, kerajaan menyasarkan untuk membentuk 360 pembekal yang berdaya saing di peringkat global. Adakah para pembekal PERODUA bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa?” katanya dalam satu perkongsian di laman sosialnya.

Malam semalam beliau telah mengadakan libat urus bersama pengurusan tertinggi Persatuan Pembekal PERODUA (P2SA) bagi berkongsi harapan kerajaan terhadap industri automotif dan juga mendengar sendiri isu-isu di peringkat pembekal.

“Semoga sesi libat urus ini dapat meningkatkan kualiti dan prestasi terbaik dalam industri serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara P2SA dan PERODUA untuk terus memajukan industri automotif tempatan,” katanya lagi.

Tengku Zafrul dalam hantarannya itu turut berkongsi bahawa jumlah pengeluaran dan jualan kenderaan melebihi matlamat yang ditetapkan pada tahun 2023. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.