Ahmad Zahid, Bung Dan Kepimpinan UMNO Sabah Hadir Ziarah Jenazah Bapa Ketua Bahagian Kota Belud

KOTA BELUD, 9 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara kenamaan yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Norjan @ Marjan Zainal ayah kepada Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan Norjan yang meninggal dunia pada petang ahad lepas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu kerana menghadapi komplikasi buah pinggang.

Antara kenamaan lain yang turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin dan beberapa Ketua UMNO bahagian.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yang dalam perjalanan bagi menghadiri majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan sambutan Rumah Terbuka Krismas di Kadamaian Square Taginambur pada Isnin, mengambil kesempatan berkunjung ke rumah keluarga Allahyarham di kampung Tambulion Sorob hampir dua jam dan turut serta bersama jemaah lain menunaikan solat jenazah.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih kepada ahli keluarga khususnya Azuwan yang kehilangan ayahanda dikasihi dan meminta ahli keluarga bersabar menerima dugaan tersebut.

Ucapan yang sama turut dizahirkan oleh Bung Moktar dan meminta ahli keluarga redha menerima ketentuan Allah.

Sementara itu Azuwan yang mewakili ahli keluarga turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Zahid, Bung Moktar serta kepimpinan UMNO pusat dan negeri Sabah yang meluangkan masa menziarahi keluarga beliau.

“Mewakili keluarga kami amat terharu dan berterima kasih atas ziarah yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin serta rombongan walaupun sibuk dengan jadual kerja yang ditetapkan namun masih dapat menziarahi kami,” jelas Azuwan. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.