UMNO Papar Ajak Terus Bulatkan Tekad, Perkukuh Parti Sebagai Wadah Perjuangan Bangsa

PAPAR, 8 Jan – Merentasi tahun baharu 2024, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengharapkan agar ahli-ahli parti terus sepakat dalam usaha untuk memperkukuh tekad dan menyemarakkan perjuangan UMNO.

Katanya, pelbagai perkara telah dilalui sepanjang tahun lalu yang sewajarnya menjadi tauladan serta penguat semangat demi kesinambungan perjuangan UMNO yang berteraskan agama, bangsa dan negara.

“Kita perlu bersama terus bulatkan tekad dalam UMNO, biarpun diakui bahawa banyak cabaran dan halangan namun usaha bagi memastikan khidmat serta perjuangan tulus tidak pernah bernoktah,” katanya.

Selaras dengan itu, beliau juga menyeru masyarakat secara holistik agar bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Perpaduan yang telah lebih setahun mentadbir negara.

“Kita berdepan dengan macam-macam propaganda dan manipulasi pihak lawan maka kerana itu saya amat mengharapkan agar rakyat matang dan melakukan penilaian dalam membuat apa-apa keputusan iaitu jangan percaya kepada persepsi termasuklah kononnya kerajaan akan bertukar.

“Hal ini acapkali menjadi mainan politik pihak lawan namun sebenarnya, Kerajaan Perpaduan hari ini bertungkus-lumus berusaha membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan bahawa pelbagai perancangan telah dilaksanakan oleh UMNO Bahagian Papar khususnya bagi terus menyantuni masyarakat setempat.

Ujarnya, UMNO perlu terus bersama rakyat dalam apa-apa juga keadaan, khususnya mendepani mereka yang ditimpa musibah, kesulitan dan menerangkan berkaitan isu-isu semasa.

“Kita sentiasa melaksanakan gerak kerja turun padang iaitu jika bukan saya sendiri pun, akan ada jawatankuasa UMNO Bahagian termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan berkunjung atau menziarah serta bertemu masyarakat di akar umbi.

“Ini kerana UMNO ini sememangnya berpaksikan ahli-ahli akar umbi yang menjadi penyokong setia parti maka kita akrabkan diri serta memaklum dan menerangkan berkaitan situasi semasa sama ada di peringkat tempatan, negeri dan pusat juga.

“Apa yang penting, adalah untuk semua pihak tahu bahawa usaha UMNO tidak pernah berhenti bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan masa depan negara terjamin kerana kita semua maklum bahawa ketidakstabilan kerajaan akan mengundang kepada suasana yang tidak tenteram,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.