HAWA Bawa Tujuh Fokus Utama, Rangkum Aspek ‘Good Lifestyle’ – Norliza
KUALA LUMPUR, 5 Jan – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) membawa tujuh fokus utama yang merangkumi semua aspek untuk membina gaya hidup lebih baik, kata Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Beliau yang ditemui selepas Majlis Pembukaan Pejabat HAWA di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi hadir memeriahkan suasana.
“Syukur alhamdulilah HAWA telah membuat pembukaan pejabatnya di Menara Dato’ Onn. Saya bagi pihak majlis HAWA bersama Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi hadir.
“HAWA ini adalah satu idea dicetuskan oleh Presiden, diberi tanggungjawab kepada Tan Sri Shahrizat untuk memastikan bahawa ianya dapat membantu UMNO/Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan semula dari akar umbi terutamanya daripada badan bukan kerajaan (NGO) lain tidak mengira sama ada kaum,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, dengan adanya pejabat tersebut maka segala urusan bersama NGO-NGO dapat dipermudahkan.
“Jadi, syukur alhamdulilah apabila kita dah ada pejabat maka lebih mudah untuk HAWA Malaysia bergerak bersama-sama dengan masyarakat di bawah dan kita boleh menjemput NGO-NGO untuk hadir kerana Tan Sri Shahrizat akan sentiasa berada di sini bagi menyantuni serta mendengar buah fikiran masyarakat.
“HAWA mempunyai tujuh fokus utama yang merangkumi semua aspek dalam menjana ‘a good lifestyle’,” katanya.
Pada Mac tahun lalu Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa) ditubuhkan dengan tekad untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam dan para pakar rujuk dari bidang profesional dan akademik untuk melandaskan arah tujunya.
Antara fokus utama HAWA ialah penjanaan ekonomi, pembangunan kapasiti, kesejahteraan hidup, pembangunan lestari, pembangunan wanita desa, teknologi dan inovasi serta perundangan dan polisi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman