Amaran Hujan Lebat Berterusan Di Johor, MB Mohon Rakyat Peka Keselamatan
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat negeri itu untuk berhati-hati ekoran amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor bermula hari ini hingga Ahad.
Beliau berharap rakyat sentiasa memantau keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Buat seluruh Bangsa Johor yang saya kasihi sekalian. Saya telah menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi Johor (MET Johor) bahawa hujan lebat berterusan sehingga 7 Januari 2024 (Ahad).
“Amaran hujan lebat berterusan pada tahap buruk dijangka berlaku di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Manakala amaran hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di Batu Pahat dan Pontian.
“Saya mohon agar seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa, dan terus menjaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, laporan terkini situasi bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, berdasar tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai masih berada pada paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Arau, Perlis dengan trend meningkat dan Sungai Kelantan di Pasir Mas, Kelantan yang menunjukkan trend menurun.
Menurut NADMA, 19 jalan ditutup akibat banjir, cerun runtuh dan kerosakan antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Kota Tinggi-Kluang di Johor. – UMNO Online