Kerajaan Perpaduan ‘Buta Warna’ Dalam Membantu Mangsa Banjir – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 2 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘buta warna’ dalam membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri yang terlibat dengan bencana alam tersebut.
“Kerajaan Perpaduan dengan tuntasnya menterjemahkan sikap ‘buta warna’ khususnya dalam situasi menghadapi krisis bencana seumpama ini,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan terbaik mereka.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi berkepentingan, sekolah, dan kumpulan-kumpulan NGO serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu situasi banjir yang berlaku di seluruh negara.
“Saya berharap semua mangsa banjir dan warga yang tinggal di kawasan yang berisiko agar sentiasa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) sekiranya memerlukan sebarang bantuan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak serta mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid dalam pada itu juga meluahkan kesyukuran dengan keberkesanan langkah siap siaga yang telah dilaksanakan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), NADMA.
Menurut beliau langkah tersebut berjaya menggerakkan semua cabang agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di setiap peringkat dengan bertindak pantas memberikan bantuan kepada mangsa dengan sokongan pelbagai aset.
“Laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sehingga jam 6.00 pagi hari ini telah merekodkan pengurangan jumlah mangsa kepada 80 orang dalam tempoh 24 jam berbanding 1,122 mangsa pada 1 Januari 2024.
“Saya percaya, keberkesanan kerajaan dalam menguruskan situasi banjir yang berlaku turut disokong oleh semangat kerjasama dan bahu-membahu oleh pelbagai pihak yang turut bersama-sama menyumbang dari sudut kewangan, sumber manusia, barangan keperluan dan sebagainya,” ujar beliau.
Untuk rekod, banjir di tiga negeri kian pulih dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 85 orang di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam, berbanding 114 orang di lima PPS petang tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan NADMA, di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 25 orang di satu PPS di Segamat berbanding 54 orang di dua PPS petang tadi.
Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang yang berlindung di dua PPS di Maran manakala jumlah mangsa banjir di Kelantan tidak berubah dengan 26 orang berada di satu PPS di Pasir Mas.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya meliputi Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 9.21 meter (m) dengan trend menurun dan Sungai Arau di Arau, Perlis (23.72m dengan trend meningkat). – UMNO Online