Banjir: Pergerakan Puteri UMNO Giat Turun Padang, Bantu Rakyat Terjejas Di Kelantan

JELI, 2 Jan – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia giat turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Jeli, Kelantan.

Menerusi hantaran di laman Facebook Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, mereka telah menjalankan gotong-royong dan turut mendoakan agar segala urusan mangsa dipermudahkan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Tahun baru 2024, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersama-sama Biro Kebajikan Puteri UMNO Malaysia dan Puteri UMNO Negeri Kelantan turun ke Kampung Reka, Jeli untuk bergotong-royong membersihkan kediaman penduduk terjejas teruk akibat musibah banjir yang baru sahaja berlaku.

“Kami dari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, mendoakan agar keluarga mangsa yang ditimpa ujian ini dipermudahkan segala urusannya dan bersabar akan ujian dari-Nya. Di sebalik ujian ini, pasti ada hikmahnya.

“Selain gotong-royong membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Reka Jeli, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi turut bersama Sukarelawan Puteri UMNO Kelantan dan Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengagihkan air minuman bersih kepada penduduk sekitar Kampung Lubok Bongor, Jeli Kelantan yang terjejas banjir,” katanya.

Setakat jam 10.00 pagi tadi media melaporkan bahawa jumlah mangsa banjir di tiga negeri meningkat sedikit kepada 80 orang di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini, berbanding 70 orang di tiga PPS tengah malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 29 orang yang berlindung di dua PPS di Maran dan Temerloh berbanding 19 orang di satu PPS di Maran tengah malam tadi.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir kekal 26 orang di sebuah PPS di Pasir Mas manakala di Johor, jumlah mangsa tidak berubah dengan 25 orang yang berlindung di sebuah PPS di Segamat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.