Perjuangan UMNO Kekal Dalam Asas Tujuannya, Sentiasa Angkat Suara Rakyat – Zuhir Ghazali
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO Siswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata UMNO masih kekal dalam asas dan tujuan perjuangannya iaitu demi berjuang mendukung cita-cita mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
Katanya, sehingga kini UMNO terus melihatkan daripada beberapa faktor dan sudut pandang tertentu yang mungkin jarang didendangkan.
Jelasnya, sepanjang penubuhan UMNO, parti ini tidak pernah berpaling tadah dan mengutamakan suara akar umbi serta rakyat.
“UMNO tidak pernah berpaling tadah dan sentiasa membantu rakyat di kala senang mahupun susah… itu terserah kepada rakyat. UMNO tidak pernah memaksa rakyat menggemari parti ini sebaliknya rakyat yang perlu berfikir, menilai dan menghargai dengan merit.
“Apakah kita mahu perjuangan Melayu yang kalimatnya hanya sedap di telinga tapi tidak jelas jejak baktinya? Atau kita mahukan pejuang Melayu Islam yang benar-benar berkata-kata dengan bukti… maka tepuk dada tanya selera?
“Kalau dahulu, pejuang Melayu mesti dilihat lantang dan keras dalam mewujudkan ‘fearmongering’ tapi kini menjadi pejuang Melayu tidak cukup sekadar itu,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Zuhir, bangsa Melayu kini berdepan dengan pelbagai masalah selepas pasca-COVID terutamanya dari sudut pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
“Melayu hari ini berdepan dengan krisis ekonomi pasca-COVID terutama yang berada di luar bandar. Melayu dan Islam perlu diangkat harakatnya dari sudut mutu pendidikan, ekonomi, perumahan, sara hidup dan bermacam lagi yang menyentuh soal survival harian dan jangka masa panjangnya,” katanya lagi.
Pada masa yang sama kata Zuhir lagi, perjuangan UMNO tidak ternilai dan sentiasa membantu rakyat ianya bermula seawal peringkat awal kanak-kanak .
“Ini melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah memperkenalkan program pra-tahfiz di KEMAS. Bahkan telah menyiapkan 3000 buah rumah PPRT kepada anak bangsa melayu yang memerlukan.
“Hanya dalam masa setahun, MARA telah memberikan latihan keusahawanan kepada 5,911 kepada anak bangsa Melayu. Ini sebahagian contoh bagaimana UMNO memainkan peranan cemerlang dalam kerajaan MADANI hari ini,” jelasnya lagi. – UMNO Online