Rakyat Diseru Bawa Tekad Baru 2024

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat supaya membawa tekad baharu sempena menuju ke tahun 2024.

Jelasnya, pelbagai pencapaian dan perkembangan positif negara ketika di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah, tahun 2023 telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan pelbagai pencapaian dan perkembangan positif negara di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terbukti kini, melalui semangat perpaduan dan kestabilan politik yang terbentuk telah melancarkan usaha mensejahterakan rakyat dalam segenap aspek,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut mendoakan agar negara terus dilimpahi nikmat dan keberkatan.

“Ayuhlah kita bersama melangkah ke gerbang tahun 2024 dengan azam dan tekad baharu demi menjulang kejayaan berterusan dan memartabatkan agenda Malaysia MADANI.

“Saya doakan juga rakyat negara ini terus dilimpahi nikmat dan keberkatan oleh Allah SWT serta dilindungi daripada sebarang musibah yang merencatkan usaha kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.