Pemuda UMNO Gerakkan Pasukan Misi Bantuan Banjir – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menggerakkan pasukan misi bantuan banjir ke Pantai Timur bagi membantu mangsa banjir di lokasi berkenaan yang terjejas teruk.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata misi bantuan tersebut dianggotai sukarelawan Pemuda UMNO, Skuad Sabil dan penyelamat akan berlepas ke negeri Kelantan dan Terengganu untuk sama-sama membantu mangsa-mangsa yang sedang ditimpa bencana banjir.

Menurutnya, konvoi kemanusiaan membawa bersama barang-barang keperluan harian khususnya makanan-makanan kering, air mineral, alat kebersihan dan penjagaan diri dan lain-lain lagi untuk diberikan kepada mangsa banjir di kawasan terbabit.

“Antara barang-barang asas yang diberikan oleh Pemuda UMNO Malaysia ialah air mineral, makanan kering dan juga peralatan mandian yang diperlukan. Pemuda UMNO juga menyediakan sebuah bot yang akan ditempatkan di Pasir Puteh. Bot ini akan digunakan oleh skuad Sabil Kelantan dan Terengganu untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Terdapat lapan kenderaaan pacuan roda yang akan bersama dan akan disambut Skuad Sabil dari Pahang, Terengganu serta berkumpul di Pasir Puteh, Kelantan. Lebih 50 sukarelawan Pemuda UMNO yang akan hadir untuk bersama-sama pada fasa pertama.

“Ini adalah bantuan fasa pertama terutamanya dari segi pemindahan mangsa-mangsa banjir. Kita lihat keperluan bot di kawasan-kawasan ini sangat memerlukan. Bantuan fasa pertama lebih RM40,000 termasuk bot dan juga barang-barang keperluan,” katanya.

Beliau berkata di lobi Menara Dato’ Onn, di sini selepas acara pelepasan sukarelawan yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata bantuan fasa kedua kemanusiaan ini akan dilanjutkan khususnya untuk pembersihan pasca banjir.

“Insya-Allah… bantuan fasa kedua akan menyusul selepas surut banjir terutamanya bantuan dari pembersihan rumah, tempat-tempat ibadah dan sekolah.

“Bagi fasa kedua, Pemuda UMNO akan bergerak seluruh Pantai Timur dan kawasan-kawasan yang ditimpa bencana untuk membantu dari segi proses-proses pembersihan,” jelas beliau.

Pada masa sama kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka itu mengalu-alukan kerjasama dari mana-mana parti.

“Sudah tentu Pemuda UMNO mengalu-alukan kerjasama. Misi ini bukan soal parti, ini bukan soal bangsa, agama dan negara tapi ini soal kemanusiaan. Pemuda UMNO membantu semua dan mengalu-alukan apa saja bentuk waima Pemuda Pas, Amanah mahu berkerjasama dengan Pemuda UMNO, pun boleh.

“Jika memerlukan bot ini, pemuda UMNO ‘offer’ pada Pemuda Pas, Amanah untuk menggunakan bot yang sama. Ini bukan soal politik, pilihan raya sudah berakhir jadi ini adalah membantu rakyat yang terkesan akibat banjir,” tegasnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.