UMNO Mesti Jadi Suara Semak Dan Imbang Dalam Kerajaan Perpaduan – Khairul Azman
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Exco Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez mengharapkan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan terus menjadi wadah bagi memainkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan yang efektif.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling menjelaskan pemimpin parti perlu sentiasa menjadi juara dalam membantu serta membela nasib rakyat.
Jelasnya lagi, pemimpin UMNO perlu proaktif dalam membantu menyelesaikan masalah, membina serta memelihara kepentingan rakyat dengan melibatkan semua aspek.
“Saya berharap agar kepimpinan UMNO dapat terus melaksanakan tanggungjawab untuk menjadi juara kepada rakyat khususnya juga sebagai semak dan imbang dalam agenda memelihara kepentingan agama, orang Melayu dan Bumiputera serta institusi raja berperlembagaan.
“Pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu tegas dan tidak perlu takut untuk terus bersuara apabila hal yang melibatkan sensitiviti kaum, agama mahupun instistusi raja dibangkitkan.
“Umpamanya akhir-akhir ini, polemik calon perdana menteri bukan Melayu dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) timbul dan saya menyambut baik ketegasan pemimpin-pemimpin UMNO malah perlu terus disuarakan di forum atau majlis yang lebih formal dan kredibel,” katanya.
Kebersamaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini tidak bermaksud kita perlu setuju sepenuhnya kepada pandangan yang dilontarkan kerana harapan rakyat khususnya orang Melayu masih tinggi terhadap UMNO, katanya lagi.
Justeru katanya lagi, UMNO perlu pertahankan prinsip asas perjuangan parti dan jangan sesekali menggadaikan prinsip itu hanya kerana ingin mengekalkan tampuk kuasa semata-mata. – UMNO Online