Rombakan Kabinet: Peluang Menteri UMNO Beri Khidmat Lebih Baik Pada Rakyat – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan minggu lalu merancakkan lagi usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Jelasnya, dengan kehadiran barisan kepimpinan yang baharu dan lama dalam kabinet terbabit menzahirkan semangat untuk terus bekerja secara berpasukan dalam menerajui kementerian masing-masing lantas memperkasakan ekonomi dan meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Semua menteri-menteri dari UMNO sama ada yang baharu atau yang lama dalam Kerajaan Perpaduan ini mempunyai kaliber tersendiri. Mereka memiliki kekuatan dan kecerdikan masing-masing untuk memacu kementerian tersebut serta mempunyai ‘performance’ tersendiri.

“Kebanyakannya menteri-menteri yang dilantik mempunyai banyak pengalaman terutamanya memperkasa serta meningkatkan kemakmuran rakyat dan negara semenjak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Menteri-menteri UMNO cuba sebaik mungkin untuk memainkan peranan masing-masing dan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraaan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberikan contoh kepimpinan UMNO yang baharu berada dalam barisan kabinet ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Pelantikan Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan kabinet dilihat melengkapkan semua lima pemimpin ‘Top 5 ‘ UMNO berada dalam barisan Jemaah Menteri. Ianya secara langsung penambahan satu lagi jawatan menteri kepada parti ini.

“Tidak ketinggalan juga Wanita UMNO merasa bangga apabila Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan agenda memartabat golongan wanita serta masyarakat dapat diperkasakan.

“Beliau sangat sesuai jawatan yang disandang, sedikit sebanyak dapat membantu rakyat dan dapat melaksanakan tugas yang terbaik,” ujarnya.

Terdahulu, barisan jemaah menteri baharu dan pertukaran jawatan menteri serta timbalan menteri telah diumumkan Anwar pada 12 Disember lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.