Kekuatan Kerajaan Perpaduan Memacu Negara Ke Arah Kesejahteraan Rakyat – Haryaty Hamdzah
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah berpandangan kerangka dasar baharu dengan konsep Madani dapat membawa perubahan besar kepada negara terutamanya dalam merencanakan kepentingan rakyat.
Ini kerana katanya kekuatan Kerajaan Perpaduan ini dapat menangani negara ke arah yang lebih mantap terutamanya dari segi ekonomi, peluang perkerjaan, kos sara hidup dan sebagainya.
“Ini beri satu kekuatan bagi menggerakkan agenda kerajaan membawa ke arah yang lebih baik lagi. Kita tidak terlalu berpolitik tapi dalam cabaran kerajaan harus tangani adalah ekonomi.
“Yang utama kos sara hidup masih tinggi, rakyat masih susah terutamanya peluang perkerjaan dan inflasi. Perkara-perkara ini perlu dilihat secara khusus untuk memberi solusi jangka pendek dan juga panjang, sekiranya tidak ianya akan memberi kesan sokongan kepada kerajaan hari ini.
“Setahun perjalanan Kerajaan Madani ini adalah satu kejayaan dan berjaya memberikan kehidupan yang aman dengan pelbagai bangsa dan ini adalah satu kejayaan kerajaan,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Tambah Haryaty lagi, pengalaman serta rekod pemerintahan yang baik pada UMNO menjadikan nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.
“UMNO ini sudah mempunyai ‘track record’ yang cukup banyak kerana berpengalaman mentadbir negara dengan cukup baik.
“Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini menunjukkan satu ikatan yang matang, persefahaman dari pelbagai parti dan bersaing memberikan perkhidmatan yang terbaik pada rakyat,” jelasnya.
Dalam masa yang sama kata Haryaty lagi menteri-menteri dan timbalan menteri UMNO dalam Kabinet Kerjaan Perpaduan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik pada rakyat.
“Saya yakin pemimpin UMNO dalam Kabinet dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang menerusi kementerian yang diterajui.
“Sebagai contoh Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berjaya membawa isu Sulu dan mendapatkan kembali hak kedaulatan negara. Ini satu contoh menteri yang berpengalaman dan bijak mengendalikan portfolio yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya. – UMNO Online