Manfaatkan Saluran TV Tempatan Siarkan Kempen Bahaya Rokok Secara Komprehensif – Azhar

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kerajaan disaran untuk memanfaatkan saluran stesen televisyen tempatan untuk menyiarkan bahaya rokok sebagai salah kempen mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan orang awam di negara ini.

Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, cadangan tersebut perlu dilakukan sebagai menyahut seruan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 sebagai agenda negara.

“Saya cadangkan televisyen nasional kita banyakkkan informatif tentang bahayanya merokok ini.

“Biar televisyen mempersembahkan agenda negara berulang-ulang supaya kita hendak mendidik… biarlah daripada aurnya janganlah mendidik setelah jadi buluh kerana susah nak patah, jadi didik secara awal lagi.

“Sertakan bacaan statistik umpamanya angka kematian melibatkan rokok,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Negara, semalam.

Bagaimanapun beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas memahami bahawa tidak mudah untuk berhenti merokok namun berdasarkan pengalamannya, Azhar berkata keazaman yang tinggi memainkan peranan penting.

“Untuk tidak mahu hisap rokok kita bukan boleh buat esok tetapi hari ini kena terus berhenti. Saya dahulu adalah perokok juga tetapi mengambil keputusan berhenti terus namun akui bukan senang hendak berhenti ini.

“Tetapi macam mana pun ia tidak baik untuk kesihatan, untuk negara dan anak-anak bangsa kita,” ujar beliau lagi.

Tambah Azhar lagi, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ini memain penting kepada kesihatan awam supaya mendisiplinkan rakyat berkenaan bahaya rokok.

“RUU ini dibuat bagi mengawal manusia itu sahaja, supaya tidak melanggar agar negara kita menjurus ke arah rakyat yang sihat dan tidak merokok itulah penghujungnya.

“Kita buat akta ini untuk rakyat semua tidak merokok, sampai hari ini baru saya sedar rupanya akta ini tiada, yang ada dimasukkan ke akta makanan sahaja tetapi baru hendak buat ini saya kira cukup bagus daripada tak buat langsung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang baharu menggesa semua ahli Dewan Negara untuk menyokong RUU itu walaupun tanpa peruntukan Generasi Penamat (GEG) sambil mengingatkan bahawa 27,000 orang mati akibat penyakit berkaitan merokok di Malaysia setiap tahun, berbanding 36,000 kematian COVID-19 yang berlaku dalam tempoh dua tahun.

“Walaupun kita tidak boleh mendapatkan semua, jangan tinggalkan segala-galanya. Sebelum ini, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 adalah di bawah Akta Makanan 1983, ia sangat tidak wajar, satu anomali untuk kawalan tembakau diletakkan di bawah Akta Makanan,” katanya.

Beliau berkata, peraturan sebelum ini juga hanya meliputi rokok dan produk tembakau, tetapi vape atau cecair e-rokok dengan bahan dan perisa lain tidak termaktub dalam peraturan itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit