Rombakan Kabinet: Usaha Kerajaan Perpaduan Pastikan Negara Dikelola Sebaiknya – Zambry

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Dengan barisan jemaah menteri baharu ini, Kerajaan Malaysia Madani diyakini akan terus berusaha untuk memastikan negara dapat dikelola dengan sebaiknya sekaligus terus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perubahan portfolionya merupakan satu kepercayaan dan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bersertakan beberapa fokus utama.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terus memberi peluang kepada saya untuk berada dalam barisan jemaah menteri Kerajaan Malaysia Madani.

“Perubahan portfolio saya daripada Kementerian Luar Negeri ke Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan satu kepercayaan dan budi bicara beliau dengan memberikan beberapa fokus utama yang perlu dilaksanakan.

“Sebagai sebuah pasukan, saya akan meneruskan agenda yang telah dibawa oleh pendahulu saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan penambahan kepada fokus-fokus baharu yang telah digariskan oleh Perdana Menteri bagi mendepani cabaran dan memenuhi keperluan masa kini serta masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, pelantikan tersebut bukanlah satu keistimewaan bahkan merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas sebaiknya.

“Terima kasih tidak terhingga juga saya panjatkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dinakhodai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid kerana terus menzahirkan keyakinan kepada saya untuk terus berada dalam saf kepimpinan Kerajaan Malaysia Madani.

“Ini juga merupakan satu penghormatan kepada Barisan Nasional untuk terus berbakti kepada negara.

“Lantikan ini bukanlah suatu keistimewaan, sebaliknya ini merupakan satu amanah dan pertanggungjawaban yang perlu saya pikul dan tunaikan dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar keluarga besar Kementerian Pengajian Tinggi dapat bekerjasama dengan erat dan terus memperkasakan kementerian tersebut.

“Kepada keluarga besar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya berharap kita dapat bekerjasama dengan erat dan terus memperkasakan KPT bagi mengangkat agenda pendidikan tinggi negara menapak lagi maju ke hadapan.

“Buat seluruh keluarga Wisma Putra, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen yang diberikan sepanjang setahun saya berada di Kementerian Luar Negeri. Banyak pencapaian yang telah sama-sama kita lakar sebagai satu pasukan dan berharap kerjasama serta kecemerlangan Malaysia di pentas antarabangsa dapat diteruskan di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.

“Dengan barisan Jemaah Menteri yang baru ini, saya yakin dan percaya Kerajaan Malaysia Madani akan terus berusaha untuk memastikan Malaysia dapat dikelola dengan sebaiknya dan kesejahteraan rakyat akan terus ditingkatkan,” katanya lagi.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet yang dilaksanakan selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, rombakan itu diadakan bertujuan penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa kerana setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi serta permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup harus ditangani dengan baik.

Jumlah keseluruhan jemaah menteri meningkat daripada 55 orang kepada 60 orang secara keseluruhannya namun masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 70 orang pada pentadbiran sebelum ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.