Ahmad Zahid Berharap Ahli Kabinet BN Bersama Kukuhkan Kerajaan Perpaduan, Perkasakan Agenda Malaysia Madani
KUALA LUMPUR, 13 Dis – Menteri dan timbalan menteri daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) yang baharu dilantik semalam mengadakan pertemuan hari ini bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet pertama selepas rombakan Kabinet.
Menerusi perkongsian Ahmad Zahid di laman X, beliau berharap amanah dan tanggungjawab ini dilakukan sebaiknya bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus diperkasa.Katanya, mereka memainkan peranan dalam mengukuhkan kerajaan Madani agar agenda prihatin rakyat dapat diteruskan sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri.
“Awal pagi tadi sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, saya dapat meluangkan masa bersama-sama dengan rakan-rakan BN yang ditaklifkan amanah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
“Saya berharap buat semua yang telah diberikan tanggungjawab ini untuk mewujudkan kolaborasi yang efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama yang baik antara wakil Barisan Nasional dan ahli kabinet yang lain untuk memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara.
“Laksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan bersama kita menjaga imej parti kerana kitalah yang menjadi representasi untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
“Semoga semua ahli kabinet BN dapat memainkan peranan sewajarnya memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan memperkasakan agenda Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu, rombakan Kabinet pada semalam menyaksikan menteri baharu daripada UMNO/BN yang dilantik ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Manakala, rombakan itu menyaksikan pertukaran portfolio melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri sedia, ada antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi). – UMNO Online