Rombakan Kabinet Dilaksanakan Untuk Penuhi Tuntutan Semasa Negara – PM
PUTRAJAYA, 12 Dis – Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini yang dilaksanakan buat kali pertama selepas kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melangkaui usia setahun, bertujuan untuk membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.
Dalam sidang media pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu, beliau yang mengekalkan portfolio Menteri Kewangan berkata rombakan dibuat kerana setiap perubahan dari segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup, harus ditangani dengan baik.
“Penerimaan di peringkat antarabangsa yang memerlukan tugas di Kementerian Luar (penting), isu pendidikan, pendidikan tinggi, terutama dalam beberapa usaha kita meneroka bidang baharu.
“Ia seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital.. yang menyebabkan saya memikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian (dalam Kabinet) dengan melihat kepada keadaan dan tuntutan semasa,” katanya.
Anwar berkata keputusan mengenai rombakan itu dibuat setelah berbincang dengan ketua parti-parti komponen utama, dan senarai nama telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenan.
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada 2.30 petang ini. Turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.
Rombakan Kabinet itu menyaksikan bilangan Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri meningkat daripada 27 kepada 29, sekali gus menjadikan keseluruhan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan kini 60 orang.
Dua kementerian disusun semula berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.
Ditanya akan berlaku lagi rombakan Kabinet sekiranya prestasi menteri tidak memuaskan, Anwar berharap barisan Jemaah Menteri mempamerkan prestasi terbaik sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Saya harap insya-Allah, kalau keadaan prestasi baik, memuaskan dan tidak ada tekanan atau permasalahan baharu seperti isu digital, saya tidak fikir harus ada apa-apa perubahan untuk kita terus ada rencana empat tahun akan datang sehingga PRU,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata pemotongan 20 peratus gaji barisan Jemaah Menteri baharu dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan.
“(Pemotongan gaji) diteruskan cuma perdana menteri tiada pemotongan (kerana tiada gaji),” katanya.
Pada 5 Dis 2022, Anwar berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing 20 peratus setiap bulan sehingga ekonomi negara kembali pulih.
Beliau berkata keputusan itu dilaksanakan atas semangat keprihatinan anggota Kabinet terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini. – BERNAMA