Beri Saya Sebulan Untuk Gariskan Visi, Misi UMNO Terengganu – Rozi Mamat
KUALA TERENGGANU, 12 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Rozi Mamat meminta agar diberikan masa untuk beliau menggariskan visi dan misi yang ingin dibawanya, setelah diberi mandat menerajui parti keramat itu di negeri berkenaan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu berkata masih terlalu awal untuk beliau bercakap mengenai hala tujunya, memandangkan pelantikannya menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu juga disifatkannya sebagai agak mengejut.
“Beri saya lebih kurang sebulan untuk saya bentangkan apa visi dan misi saya… Insya-Allah kita akan lihat hala tuju UMNO Terengganu yang lebih jelas dan teratur, dalam usaha untuk kembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
“Kena ada rangka tindakan yang betul untuk kembalikan keyakinan rakyat. Tadi pun dah buat keputusan bersama ketua bahagian dan sayap untuk bekerjasama. Kita faham kedudukan UMNO sekarang dan sangat-sangat sedar penolakan itu. Jadi, kami akan atur langkah dari kosong… dan mungkin penjenamaan semula UMNO agar lebih sesuai dengan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu daripada Datuk Seri Ahmad Said kepadanya, di sini.
“Namun, pertamanya saya akan rapatkan hubungan keluarga UMNO, rumah tangga kita dahulu. Mana yang pincang tu kita akan bincang bersama dan akan lihat di luar (melantik muka-muka baharu) tua atau muda,” katanya sambil mengesahkan bakal berlaku sedikit rombakan dalam UMNO Terengganu, susulan pelantikannya ke jawatan itu.
Menyentuh mengenai ketiadaan blok pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah PAS menyapu bersih 32 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 yang lepas, beliau yang sebelum ini merupakan Setiausaha UMNO negeri berkata UMNO akan tetap menjalankan fungsi semak dan imbang dengan baik melalui media sosial khususnya.
Rozi juga melahirkan keyakinan bahawa UMNO mampu bangkit semula di Terengganu, memandangkan landskap politik kini kian berubah mengikut keadaan semasa dan akan melakukan kajian terperinci untuk mengenal pasti faktor penolakan rakyat ketika ini, termasuklah kekeliruan mengenai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi surat dikeluarkan minggu lepas, memaklumkan pelantikan Rozi dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Johor, berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO. – BERNAMA