KPT Sedang Lihat Ekosistem Tvet Untuk Mantapkan Usaha Kerajaan Menjayakannya
ARAU, 11 Dis – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melihat ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sektor pendidikan tinggi dalam usaha memantapkan lagi langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi menjayakan sistem pendidikan dan latihan teknikal itu dalam negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ekosistem TVET dalam sektor pendidikan tinggi merangkumi Politeknik, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) serta universiti awam lain, yang menawarkan program kejuruteraan dan teknologi seperti Universiti Malaya (UM).
“Jadi secara keseluruhannya kita nak tengok di manakah ekosistem pendidikan tinggi dalam penawaran pengajian TVET, dan kita akan bangunkan ekosistem ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sempena lawatan kerja beliau ke UniMAP di Kampus Alam, Pauh Putra di sini hari ini.
Turut serta Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata kadar kebolehpasaran kerja graduan UniMAP mencapai 97 peratus dengan terdapat peningkatan graduannya mendapat gaji premium setiap tahun.
“Satu kekuatan yang ada pada UniMAP ialah banyak program dituruti dengan penyediaan program profesional, ini dapat dilakukan kerana kerjasama dengan industri telah memberikan pendedahan latihan kepada tenaga akademik UniMAP untuk menjadi pelatih kepada penawaran sijil profesional.
“Kita tahu sijil profesional merupakan nilai tambah kepada seseorang graduan, dengan sijil profesional bukan sahaja mudah dapat pekerjaan, tetapi juga dapat pendapatan lebih baik, sebab itu UniMAP antara universiti mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi, sebanyak 97 peratus,” katanya.
Beliau juga menekankan supaya UniMAP antara lain memperluaskan dan meningkatkan lagi usahanya membangunkan bakat terutama dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor memandangkan bidang itu memerlukan tenaga kerja mahir yang ramai. – BERNAMA