Isu Pelancongan: Jadi Kerajaan Kena Ada Kreativiti, Inovatif – Bekas MB Kedah

ALOR SETAR, 8 Dis – Tular baru-baru ini sebuah pulau peranginan di negeri Kedah tidak lagi menjadi tumpuan utama pelancong untuk makan angin dikhabarkan akibat kos makanan dan minuman, penginapan dan kereta sewa yang semakin meningkat di kawasan itu berbanding di negara jiran yang menawarkan harga lebih berbaloi untuk dilawati.

Mengulas perkara berkenaan, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelancongan boleh menjadi sumber ekonomi bagi masyarakat setempat dan kerajaan negeri khususnya perlu kreatif dan berinovasi.

Kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu, untuk mencipta sesuatu tempat menjadi lokasi pelancongan, perlu ada kombinasi antara semua faktor sama ada dari segi sejarah, alam sekitar mahupun program yang mahu dianjurkan.

“Jadi siapa yang jadi pemerintah dia kena ada kreativiti dan inovasi. Kreativiti dan inovasi datang dari kerajaan negeri… kerajaan pusat dan kombinasi itu yang paling penting.

“…tapi kalau kerajaan negeri menyalahkan kerajaan pusat semua atas kesalahan… akan memberi kesan kepada pelancongan, sebab pelancongan itu satu proses penjanaan ekonomi untuk masyarakat setempat, untuk orang buat insurans, kereta (sewa), restoran, hotel, ‘homestay’.

‘Semua aktiviti itu boleh jadi ekonomi. Jadi kalau kita tak nak buat… lepas itu dalam masa sama ambil sikap untuk ‘berperang’, takkan jadi benda yang baik,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Mahdzir yang berkhidmat dalam jawatan itu dari Dis 2005 hingga Mac 2008, kombinasi dan kerjasama yang baik antara pusat dan negeri diperlukan contohnya seperti penyediaan fasiliti dan peruntukan daripada kerajaan pusat manakala kerajaan negeri turut menyumbang dari segi acara-acara yang berkaitan dan kebersamaan pihak berkuasa tempatan.

“Saya ingat kenyataan Menteri Besar yang terbaru… dia letakkan semua kesalahan Langkawi itu kepada kerajaan pusat khususnya Kementerian Pelancongan. Jadi pada saya kerajaan negeri kena fikir apa yang hendak dibuat.

“Di tempat pelancongan Phuket, Bali atau di Dubai, orang fikir pasal acara, aktiviti, boleh jadi dalam bentuk sukan, konferen, pameran… jadi kalau satu tahun boleh fikir apa benda yang kita hendak buat di situ, barulah boleh jadi tempat itu.

“Kalau kata nak buat marathon, contohnya International Marathon Langkawi adalah lima ribu orang nak lari.. lima ribu orang itu takkan tiada tempat tidur? Lima ribu orang itu takkan tak boleh sewa kereta?,” soalnya lagi.

Begitu juga katanya seperti mana program Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang banyak memberi limpahan ekonomi dan manfaat kepada rakyat di pulau itu.

“Macam LIMA kita buat dua tahun sekali… berapa besar orang Langkawi boleh dapat manfaat. Buat apa-apa persidangan antarabangsa di Langkawi, orang luar negara pun datang, contoh… yang tu kena kolaborasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“…dan kalau ‘duk kelahi’ dengan orang ni susahlah… saya tak nampak jalanlah kalau kita mula bergaduh dengan orang… saya tak nampak jalan kata nak buat seorang diri, benda apa pun tak jadi,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit