DUN Perak Lulus Rang Undang-Undang Wasiat Orang Islam (Perak) 2023
IPOH, 8 Dis – Dewan Undangan Negeri Perak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Perak) 2023, yang bertujuan memberi panduan, mengurus tadbir dan mengawasi pembuatan serta pelaksanaan wasiat orang Islam di negeri Perak, secara berkesan.
Seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian membahaskan RUU itu selepas dibentang Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, semalam.
Saarani ketika menggulung perbahasan RUU tersebut hari ini berkata RUU wasiat itu digubal dengan begitu tersusun dan merangkumi hampir semua aspek hukum syarak.
“Ia bukan sahaja menyentuh mengenai pembuatan wasiat, malah meliputi aspek pembuktian, pelaksanaan dan pendaftaran wasiat, selain menggariskan aspek kawal selia melibatkan wasiat orang Islam,” katanya.
Saarani berkata langkah pertama yang akan diambil segera ialah mewujudkan garis panduan yang akan menjadi pelengkap kepada rang undang-undang tersebut, supaya menjadi rujukan kepada semua pihak, sama ada penyedia perkhidmatan wasiat, orang awam atau pun pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata perkara-perkara melibatkan bidang kuasa serta pertembungan antara perundangan Persekutuan dan negeri, akan diusulkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Ini membolehkan titik-titik pertemuan dapat dicapai, bagi merungkaikan apa jua kerumitan yang timbul demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan ummah,” katanya.
Dalam pada itu Saarani juga berkata kerajaan negeri akan mengkaji cadangan mewujudkan Enakmen Hibah.
“Sukacita saya memaklumkan bahawa perkara itu sememangnya sudah berada dalam perancangan kerajaan negeri, selepas mengambil kira kepentingannya sebagai salah satu instrumen dalam perancangan harta pusaka,” katanya.
Persidangan bersambung sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA