Pemuda UMNO Johor Zahir Tahniah Atas Pelantikan Onn Hafiz, Hargai Langkah Presiden

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menzahirkan penghargaan ke atas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melantik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata ketetapan yang dibuat atas semangat permuafakatan disambut dalam suasana penuh kerukunan dan menjadi suatu tanda aras ketokohan dalam kepimpinan tertinggi UMNO Johor.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyambut baik pengumuman oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkuatkuasa 7 Disember 2023.

“Berhadapan iklim politik negara yang saban hari diselubungi keberantakan dan pergeseran, UMNO Johor telah menampilkan teladan terbaik sekaligus mengulangi penegasan buat kesekian kalinya bahawa tidak ada yang lebih tinggi dan lebih utama daripada kepentingan Johor Darul Takzim.

“Dengan permuafakatan yang akan mengukuhkan lagi sinergi di antara kepimpinan Kerajaan Negeri dan UMNO Johor ini, adalah menjadi harapan bahkan dambaan ramai bahawa ianya akan menjadi pencetus kepada Johor yang maju, stabil dan makmur,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini telah melantik Onn Hafiz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri  Johor dan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Ianya selaras dengan fasal 12.5 Perlembagaan UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, berkuat kuasa serta merta. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.