Onn Hafiz Dilantik Pengerusi BPUN Johor, Rozi Mamat Pengerusi BPUN Terengganu

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Datuk Onn Hafiz Ghazi telah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Johor sementara Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi BPUN Terengganu yang berkuat-kuasa serta merta.

Demikian maklum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Duski dalam satu kenyataan hari ini.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang berkuat-kuasa serta merta.

“Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Rozi Mamat yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang berkuat-kuasa serta merta,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya dengan dilampirkan surat lantikan berkaitan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan penjawat sebelum ini.

“Mewakili keluarga besar UMNO juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan buat YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ahmad Said atas segala pengorbanan, usaha dan komitmen yang tinggi dalam memimpin UMNO Johor dan UMNO Terengganu selama ini.

“Moga dapat meneruskan usaha memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.