UMNO Tidak Apologatik… ‘Barua’ Bersatu Lagi Berat Cuba Bunuh UMNO – Puad
KUALA LUMPUR, 5 Nov – Pelbagai lontaran dinyatakan agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan hari ini gara-gara keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui memang benar sokongan orang Melayu terhadap UMNO telah merosot tetapi bukankah ianya berlaku sebelum parti berkenaan bekerjasama dengan Dap.
“Benar… sokongan Melayu merosot tetapi UMNO tidak apologatik. Sokongan merosot sebelum UMNO dan Dap bekerjasama lagi dari PRU ke-14 lagi.
“Tetapi kerana PRK Kemaman, terdapat tali barut dari Bersatu yang menuduh UMNO adalah ‘barua’ Dap. Ini termasuklah Tun Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak agar UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Puad yang juga Speaker Negeri Johor menjelaskan UMNO membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“UMNO bertanding PRU ke-15 secara solo dan kehilangan banyak kerusi. Selepas pilihan raya parti ini menyertai Kerajaan Perpaduan dan itu adalah keputusan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“UMNO ada dua pilihan untuk bantu tubuh kerajaan maka ahli MKT memilih Pakatan Harapan (PH). Apa guna pilih PN? Ini kerana pemimpin-pemimpin Melayunya mahu membunuh UMNO dan diganti dengan Bersatu. Apakah itu barua Dap? Barua Bersatu lagi berat iaitu ingin membunuh UMNO,” tegasnya lagi. – UMNO Online