Kes Sulu: Azalina Harap Mahkamah Madrid Jatuhkan Hukuman Setimpal Ke Atas Stampa

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Kerajaan Malaysia berharap Mahkamah Madrid akan menjatuhi hukuman setimpal ke atas penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa yang bakal dibicarakan pada 11 Dis ini atas dua kes jenayah berkaitan award akhir kepada Kumpulan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau sedikit khuatir kerana Stampa merupakan individu yang amat berpengaruh di Madrid.

“Ayahnya seorang yang terkenal malah terlibat dalam proses kemerdekaan negara Sepanyol, terlibat dalam gerakan revolusi ketika itu, dia juga seorang peguam, maknanya ayah dia dan keluarga dia orang berpengaruh.

“Kami harap tiada tekanan secara negatif sebab dah terang yang dia melanggar banyak undang-undang di Sepanyol,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara: Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI di Wisma BERNAMA Isnin.

Azalina berkata beliau bersama pihak Jabatan Peguam Negara dan beberapa pegawai antarabangsa akan ke Sepanyol bagi mengikuti perbicaraan itu.

Azalina berkata perbicaraan dan hukuman terhadap Stampa amat penting terutama berkaitan tindakannya memberikan award meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah diberhentikan selain masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan beralih ke negara lain untuk melaksanakan keputusan terhadap Kerajaan Malaysia.

“…award itu saya bukan panggil Sulu Award tapi Sulu Fraud, mereka pergi ke banyak negara Eropah sebab negara Eropah ini bila tengok award daripada timbang tara, mereka anggap award itu sah, itu sebab kita kena bermula semula di negara yang beri award pertama iaitu di Madrid.

“Jadi kita mahu Mahkamah Madrid kenakan Stampa hukuman jenayah terhadap kedaulatan Malaysia dan ini (akan jadi) satu kemenangan kerana ini punca dia bergerak ke negara lain untuk aniaya Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata kes Sulu menjadi teladan kepada Malaysia yang tidak mempunyai undang-undang kekebalan negara.

Azalina berkata apa yang berlaku menyaksikan Malaysia menjadi mangsa kepada Sulu Fraud yang membabitkan proses timbang tara antarabangsa.

“Ketika itu kita tidak bersedia, negara kita pun tidak stabil, jadi mereka ambil kesempatan, sebab itu kita bentang Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bacaan kali pertama di Dewan Rakyat tempoh hari,” katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada sesuatu negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan sesuatu negara daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia serta akan dibentang bagi bacaan kali kedua pada sesi pembukaan Parlimen berikutnya. – BERNAMA

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.