Cuaca Pagi Cerah, Pengundi Kemaman Tunai Tanggungjawab

KEMAMAN, 2 Dis – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan melabuhkan tirainya hari ini dengan proses pengundian bermula sejak dibuka pusat mengundi pada jam 8 pagi tadi.

Sebanyak 49 pusat mengundi dan 244 saluran dibuka di mana seramai 141,043 orang bakal menunaikan tanggungjawab mengundi.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, cuaca cerah membolehkan pengundi keluar untuk mengundi dan proses pengundian juga berjalan lancar serta tenang.

Di beberapa tempat yang sempat ditinjau pada pagi ini, tiada kesesakan berlaku di pusat-pusat mengundi hingga menyebabkan pengundi terpaksa menunggu lama untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu hantaran di Facebook rasminya berkata peratus pengundi keluar mengundi bagi PRK Parlimen Kemaman ini sehingga jam 10:00 pagi adalah sebanyak 18 peratus.

Keputusan rasmi PRK Parlimen Kemaman ini akan diumumkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai, di sini, lokasi sama berlangsungnya pusat penamaan calon pada 18 Nov lalu.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini melibatkan pertembungan antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala hari ini sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit