Tolak Dakwaan UMNO Sabah Bergolak, Keahlian Baharu Bukti Parti Terus Jadi Pilihan
LAHAD DATU, 1 Dis – Perubahan senario politik dan pelbagai dakwaan negatif terhadap UMNO Sabah termasuk kononnya bergolak terbukti tidak benar lantaran parti terbabit masih terus menjadi pilihan rakyat sebagai platform bagi mengangkat perjuangan.
Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang memaklumkan bahawa bahagian terbabit kekal aktif dalam gerak kerja malah turut menerima pertambahan keahlian baharu.
“Rutin UMNO Bahagian Lahad Datu tetap bergerak seperi biasa, melaksanakan pelbagai khidmat, memberikan sumbangan dan memastikan parti ini sentiasa ada bersama-sama rakyat khususnya di peringkat akar umbi yang diamanahkan kepada ketua-ketua Cawangan di sini.
“Kita juga menerima borang kemasukan ahli baharu membabitkan Cawangan UMNO Kampung Lock Terusan Pulau Sakar di sini yang membabitkan seramai 65 orang,” katanya kepada UMNO Online.
Maklum beliau, biarpun sebelum ini wujud pelbagai andaian dan dakwaan yang tidak benar berkaitan UMNO namun apa yang pasti parti terbabit terus melaksanakan usaha untuk kesejahteraan rakyat.
“Inilah kerja pihak lawan, asyik membuat andaian dan fitnah yang tidak berasas.
Memang di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin, UMNO Sabah ‘berpecah’ kepada pelbagai kumpulan dalam menentukan arah kompas perjuangan namun makna ‘berpecah’ itu adalah untuk kita bergerak bukan hanya dalam lingkungan politik semata-mata.
“UMNO Sabah ‘berpecah’ dalam beberapa kumpulan mencari penyelesaian baik dari segi pendidikan, kesihatan, alam sekitar, urus tadbir politik, sukan, seni dan budaya, dari segi keusahawanan, kemahiran ekonomi, agama, perpaduan, malah segenap aspek pembangunan Sabah.”
Ini kerana katanya, Sabah hari ini perlu mantap dan diangkat dengan pelbagai penyelesaian berkaitan masalah penduduk khususnya hal-hal membabitkan keperluan asas dan sebagainya.
“Sudah sampai masanya rakyat Sabah mengubah rentak, merencanakan agenda, membuka minda kita supaya tidak hanya menjadi sebuah bangsa yang reaktif dan defensif semata-mata.
“Ingatlah rakyat Sabah, UMNO sebuah ufuk perjuangan yang lebih meluas, sumbangan dan keupayaan UMNO merentasi batasan, bukan hanya berlegar sekitar MA63 dan hak-hak sewaktu dengannya.”
Beliau mengakui bahawa hal berkaitan MA63 adalah perjuangan parti dan tidak akan pernah ditinggalkan.
“Benar, itu benih perjuangan UMNO yang asal dan tetap akan diperjuangkan. Tetapi UMNO kali ini membawa inspirasi Sabah baharu. Biar kejayaan rakyat Sabah diukur dengan nilai teknologi yang dipatenkan, bukan setakat berapa banyak graduan dikeluarkan.
“Biar kejayaan rakyat Sabah diukur dengan berapa banyak saintis, ahli akademik dan pelopor teknologi, bukan hanya berapa ramai ahli profesional yang dilahirkan. Biar kejayaan rakyat Sabah diukur dengan harta intelek dan keuntungan hasil inovasi berteraskan STEM, bukan hanya harta fizikal seperti hartanah dan bangunan semata-mata.
“Sebab itu UMNO Sabah dilihat ‘berpecah’ demi mencari penyelesaian mengatasi segala kerosakan di Negeri Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online