PRK Kemaman: Peluang Masih Ada, Jentera Perhebatkan Kempen Dalam Tempoh Berbaki

KEMAMAN, 1 Dis – Beberapa jam sahaja lagi tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan tamat sejak bermula dari 18 Nov lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala esok, Sabtu hari pengundian yang melibatkan seramai 141,790 pengundi berdaftar termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan peluang bagi BN merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman setelah jatuh kepada tangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15 lalu tetap ada.

Apa yang penting ujar Ketua Wanita UMNO Malaysia itu, jentera perlu memastikan setiap pengundi terutamanya penyokong parti keluar menunaikan tanggungjawab dengan mengundi calon BN.

“Peluang insya-Allah ada tapi kena pastikan pengundi-pengundi terutamanya penyokong-penyokong BN keluar mengundi, yang kita khuatir adalah cabaran seperti hujan.

“Jadi saya nak minta pengundi-pengundi supaya keluar awal pagi, selesaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia, undi dahulu baru laksanakan kerja-kerja lain,” katanya kepada UMNO Online.

Noraini ditemui selepas mengadakan ziarah kasih di sekitar kawasan Pusat Daerah Mengundi Mak Chili, Air Putih, di sini.

Tambahnya juga, di hari-hari terakhir ini gerak kerja jentera diperhebatkan lagi tanpa putus asa sehinggalah apabila pusat-pusat pengundian ditutup pada esok.

“Hari mengundi apa yang kita akan laksanakan adalah untuk memastikan pengundi-pengundi di bawah kita keluar sebab kita pun tahu ada sesetengah bila kita pergi buat rayuan kepada mereka rumah ke rumah ada yang menghadapi cabaran kenderaan, itu yang insya-Allah akan dibantu oleh Wanita-wanita,” katanya.

Justeru, Noraini menyeru kepada pengundi agar dapat memberikan undi mereka kepada calon BN yang pasti mampu melaksanakan tugas jika diberi peluang.

“Kita bagi peluang kepada calon nombor satu dari BN dan kita percaya beliau akan mampu untuk melaksanakan yang terbaik untuk rakyat di Kemaman. Kemamang untuk Kemamang.

“Dan terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang akan keluar esok dan apabila dalam perjalanan itu saya harap berhati-hati. Insya-Allah pengundi-pengundi akan memberi sokongan kepada calon BN,” katanya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU-15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini melibatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit