Calon BN Berwibawa, Insya-Allah Kemaman Akan Jadi Anak Emas Kerajaan Persekutuan

KEMAMAN, 1 Dis – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata atas kewibawaan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan jika beliau memperoleh kemenangan, Parlimen Kemaman ini akan menjadi anak emas kerajaan pusat.

Ujarnya, ia juga mampu menjadi satu-satunya jambatan penghubung antara rakyat di negeri itu dengan Kerajaan Persekutuan kerana kelapan-lapan kerusi Parlimen di Terengganu tiada satu pun dimenangi oleh UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“UMNO di Terengganu kosong (tiada kerusi yang menang). Jadi bila menang Kemaman sekurang-sekurangnya ada satu jambatan yang berhubung dengan Putrajaya.

“Insya-Allah Kemaman akan jadi anak emas Kerajaan Persekutuan apatah lagi calon kita (bekas) Panglima Angkatan Tentera, anak Terengganu yang pertama jawat jawatan itu. Ini menguntungkan orang Kemaman,” katanya kepada media ketika ditemui selepas program pelancaran Jelita@Risda di Mesra Mall, Kerteh, di sini.

Tambah Ahmad, tanpa memperkecilkan kredibiliti Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjadi calon pihak lawan, tugas menteri besar sememangnya amat sibuk.

“Bukan hendak memperkecilkan menteri besar, saya pernah jadi menteri besar… sibuk. Nak jaga negeri pun payah, nak jaga Parlimen pula? Parlimen sekarang ini jika melibatkan bajet dua bulan bersidang.

“Takkan nak tinggalkan negeri berulang alik ke Parlimen? Atau dua bulan di Parlimen tinggalkan negeri? Ada Pas kata menteri besar Selangor ahli Parlimen… betul, tetapi boleh berulang setengah jam dari pejabat ke Parlimen.

“Kalau dah Rhu Rendang dia tak boleh turun sepenuhnya apatah lagi Kemaman yang besar ini 141,000 pengundi dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Bidasnya juga, sudah hampir enam tahun Pas memerintah negeri Terengganu tetapi tiada satupun pembangunan yang mereka buat.

Seterusnya ulas Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu lagi, demi masa depan pengundi seharusnya memberikan sokongan kepada Raja Mohamed Affandi yang terbukti banyak menabur jasa kepada rakyat khususnya di Kemaman sepertimana ketika banjir besar Kemaman pada 2013 dengan mewujudkan hospital medan, membina jambatan sementara dalam masa dua puluh empat jam serta jasa ayahnya sebagai pembantu perubatan berkhidmat sehingga ke kawasan kampung.

Ahmad turut mengingatkan rakyat bagaimana pihak Pas terbukti menyogok pengundi untuk mendapatkan kemenangan pada PRU-15 lalu sebagaimana keputusan mahkamah.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera dan Pas yang mempertaruhkan Ahmad Samsuri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit