Azalina Tempelak Muhyiddin, Hijrah Sepatutnya Untuk Kekuatan Bukan Kelemahan

KEMAMAN, 1 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan ‘fatwa’ baharu dengan mengatakan harus bagi ahli-ahli UMNO berhijrah.

Kata Azalina, hijrah sepatutnya dilakukan untuk perubahan yang lebih baik dan bukannya kepada kelemahan.

Malah menurut beliau, PN yang sepatutnya berhijrah bersama Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat.

“Itu pandangan dia sebagai presiden PPBM jadi mungkin dia kata parti dia hebat. Tapi bagi saya kenapa kena berhijrah kepada kelemahan? Kena berhijrah kepada kekuatan.

“Saya hendak sambut balik apa dia kata sudah tiba masanya ahli-ahli Parlimen PPBM dan Pas di bawah PN masuk kepada blok kerajaan sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Jadi bolehlah kita bincang untuk kejayaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online ketika melakukan kunjungan ke bilik gerak kerja Penerangan UMNO di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Dalam pada itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu lagi, kenyataan Muhyiddin itu tidak selari dengan tindakannya ketika menjadi Perdana Menteri apabila melantik ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) menganggotai Kabinet ketika pentadbirannya.

“Ini demokrasi kita boleh cakap macam-macam sama ada orang percaya itu terpulang, saya tak yakin atau percaya dengan apa yang dia kata dan bagi saya UMNO sebusuk-busuk masa dia Perdana Menteri pun ambil sebahagian daripada UMNO.

“Masa Perdana Menteri kesembilan sebahagian dipimpin UMNO, hari ini Perdana Menteri kesepuluh pun UMNO masih dalam kerajaan.

“Jadi maknanya UMNO/BN mengambil langkah untuk memberikan kekuatan walaupun jumlah kita menang kerusi tidak begitu banyak itu adalah perkiraan politik,” katanya.

Dalam pada itu bercakap berkenaan konteks pilihan raya Azalina berkata PRK ini tidak langsung akan memberikan kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri dan Pusat.

Malahan katanya di peringkat Pusat, PN pada ketika ini tidak mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi mengambil alih kerajaan.

“Calon ini kalau menang tak akan ubah kerajaan negeri dan Menteri Besar daripada Pas.

“…dan calon nombor dua menang dia tidak boleh jadi Perdana Menteri sebab jumlah tak cukup, ini bukan cara dia tunggu la PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16) kalau yakin sesama mereka,” ujar beliau.

BN pada PRK ini mempertaruhkan bekas Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.

Beliau yang berkhidmat 43 tahun dengan badan beruniform itu berdepan satu lawan satu dengan calon Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit